share_log

CelcomDigi Membina Komuniti Advokasi Keselamatan Dalam Talian Di Malaysia

CelcomDigi ·  Sep 27 00:00

Lebih 30 pencipta kandungan, pempengaruh media sosial, dan penyampai radio yang berpotensi mempengaruhi lebih 5 juta rakyat Malaysia telah dilatih untuk memperluaskan kesedaran keselamatan dalam talian dan scam

PETALING JAYA, 27 SEPTEMBER 2024 – Lanskap digital yang semakin berkembang kini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti penipuan atau scam, buli siber, dan juga maklumat palsu. Menyedari bahawa usaha memerangi wabak sosial yang semakin meningkat ini memerlukan pendekatan yang melibatkan keseluruhan masyarakat, CelcomDigi Berhad ("CelcomDigi") telah menganjurkan dua Masterclass Keselamatan Dalam Talian dan Anti-Scam yang eksklusif untuk memperkasa pencipta kandungan, pempengaruh media sosial, dan penyampai radio agar membuat advokasi mengenai keselamatan dalam talian.

Masterclass interaktif ini dipimpin oleh pakar-pakar dalam keselamatan siber, etika digital, psikologi tingkah laku dan juga keselamata kanak-kanak dalam talian untuk memberikan pandangan kepada pencipta kandungan, pempengaruh, dan penyampai radio tentang pelbagai ancaman dan scam dalam talian, tanda amaran yang perlu diperhatikan serta cara mengenal pasti scam, psikologi di sebalik scam, dan langkah-langkah yang perlu diambil apabila berdepan dengan scam. Latihan masterclass juga menyampaikan contoh-contoh kes keselamatan dalam talian yang melibatkan kanak-kanak serta amalan terbaik dalam melindungi kanak-kanak di dunia digital. Kesemua maklumat ini akan memperkasa dan memberi peserta pengetahuan penting untuk meningkatkan kesedaran dan advokasi keselamatan dalam talian melalui kandungan dan interaksi mereka dengan komuniti.

Ketua Kelestarian CelcomDigi berkata, "Pencipta kandungan dan pempengaruh media sosial dengan platform yang luas dan jumlah pengikut yang besar, mempunyai kuasa untuk membentuk pemikiran para pengikut mereka dalam menggunakan internet dengan baik dan kekal selamat dalam talian. Begitu juga dengan penyampai radio, mereka mempunyai keupayaan unik untuk berinteraksi dan mempengaruhi para pendengar yang banyak setiap hari, dan memberikan panduan dan maklumat yang betul mengenai keselamatan dalam talian."

"Kita memerlukan peringatan yang berterusan tentang pelbagai ancaman dalam talian, terutamanya berkenaan scam kerana walaupun terdapat kesedaran adalah tinggi, masih terdapat jurang dalam pemahaman rakyat tentang cara mengambil tindakan pencegahan. Laporan Kaji Selidik Kesedaran Scam Kebangsaan 2024 kami baru-baru ini mendedahkan bahawa walaupun 85% rakyat Malaysia sedar tentang scam dalam talian, hampir 60% pernah mengalami atau mengenali seseorang yang mengalami scam. Jadi, melalui masterclass ini, kami bukan sahaja melatih pempengaruh, tetapi kami sedang membina satu suara yang kolektif dan menyeluruh untuk memerangi scam dan ancaman dalam talian. Kami percaya bahawa para peserta ini boleh menjadi komuniti advokasi yang dinamik untuk memacu perubahan positif dalam usaha memerangi scam dan meningkatkan keselamatan dalam talian serta membina masyarakat digital yang dipercayai."

Para peserta dalam masterclass ini termasuk pempengaruh terkenal seperti Raj Mahal, Esty Richard, Eizuwan Fulamak, Jane Teoh, Hubert CEO, Abang Lawyer Hafiz Baharuddin, Vikar World, dan Alexey Brock serta penyampai radio dari stesen-stesen radio utama iaitu Nasional FM, Minnal FM, Ai FM, Asyik FM, BERNAMA Radio, Hitz FM, Mix FM, Era FM, Sinar FM, dan BFM.

Secara kolektif, kesemua para pempengaruh dan penyampai radio ini mempunyai potensi untuk mencapai dan memberi impak kepada jutaan rakyat Malaysia merentasi pelbagai demografi dan bahasa, termasuk melibatkan komuniti etnik tertentu, populasi bandar, luar bandar, dan pinggir bandar, serta golongan belia dan profesional.

Masterclass interaktif ini adalah sebahagian daripada inisiatif Creators IRL (In Real Life) yang baru dilancarkan, hasil kerjasama dengan Ratio:Cause, Meta Platforms Inc. dan Women's Centre for Change. Inisiatif ini diwujudkan untuk menangani scam dan ancaman dalam talian, mencipta komuniti advokasi keselamatan dalam talian yang aktif, dan membantu membina masyarakat digital yang lebih dipercayai di Malaysia.

Disclaimer: This content is for informational and educational purposes only and does not constitute a recommendation or endorsement of any specific investment or investment strategy. Read more
    Write a comment